Apa Itu Takaful?

Pengenalan Takaful

Sebelum anda membuat pemilihan pelan insurans buat diri dan keluarga, anda haruslah faham konsep takaful dengan jelas agar ia dapat memberi perlindungan yang terbaik sesuai dengan kemampuan kewangan.

Namun begitu, kadangkala istilah-istilah insurans memeningkan terutamanya jika ia bukan dalam Bahasa Malaysia seperti sesetengah istilah takaful yang asalnya dari bahasa Arab.

Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya anda mengetahui terma yang selalu digunakan dalam perlindungan takaful.

Berikut merupakan istilah-istilah asas yang penting berkaitan takaful:

Takaful ialah satu pelan insurans yang memiliki ciri patuh Shariah. Ini bermaksud di bawah Takaful, terdapat banyak produk patuh Shariah yang lain seperti Takaful perubatan, Takaful kenderaan, dan banyak lagi. Istilah Takaful juga merujuk kepada konsep insurans Islamik yang berasaskan kerjasama bersama, dimana segala risiko dan dana dikongsi bersama. Bantuan kewangan juga disediakan dibawah Takaful yang dikenali sebagai Tabarru’ (sedekah) dengan dana yang disumbang oleh individu dibawah perlindungan Takaful.

Syarikat Takaful pertama di Malaysia ditubuhkan pada tahun 1985 selepas penggubalan Akta Takaful 1984. Persatuan Takaful Malaysia (Malaysian Takaful Association MTA) ialah badan yang bertanggungjawab untuk menjadi rujukan untuk semua perkara berkaitan Takaful di Malaysia. Selain itu, industri Takaful di Malaysia turut dikawal selia oleh Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Ciri-ciri Takaful

  • Perkongsian risiko – risiko tidak hanya ditanggung oleh syarikat insurans sepertimana insurans konvensional, tetapi turut ditanggung oleh semua pihak dibawah Takaful tersebut.
  • Polisi ‘no claim cashback’ – jika anda tidak membuat sebarang tuntutan dalam tempoh perlindungan tersebut, anda akan terima rebat tunai dari syarikat Takaful anda. Jumlah rebat tersebut ditentukan oleh syarikat Takaful dan tiada jumlah tetap.
  • Patuh Shariah (Paling penting bagi Muslim)– perlu mematuhi undang-undang Shariah dan tidak terlibat dalam sebarang transaksi haram.

Jenis-jenis perlindungan yang ditawarkan dalam takaful adalah seperti:

  • Pelan Motor
  • Pelan Perubatan dan Kesihatan
  • Polisi Perjalanan
  • Polisi Empunya Rumah
  • Polisi Berkaitan Pelaburan
  • Pelan Keluarga
  • Pelan Kemalangan Diri

Sebagai contoh Takaful/Pelan Motor atau kenderaan. Pelan ini akan melindungi anda dari kerugian atau kerosakan kenderaan sendiri akibat kemalangan atau kecurian, kebakaran; dan/atau kecederaan atau kematian, kerosakan atau kerugian harta benda pihak ketiga. Pihak ketiga ni contohnya jika anda terlanggar kenderaan orang, maka orang tersebut (mangsa) dikenali sebagai orang ketiga.

Kalau Takaful/Pelan Perubatan dan Kesihatan, lebih kurang sama dengan Insurans/Polisi Perubatan dan Kesihatan di mana ia akan memberi perlindungan terhadap kos rawatan perubatan persendirian. Dalam kedua-dua insurans dan takaful ni ada jenis-jenis perlindungan yang anda perlu pilih mengikut kesesuaian dan keperluan serta kemampuan anda.

Selain itu, di bawah pelan takaful, anda boleh menikmati perkongsian lebihan atau keuntungan daripada dana takaful berdasarkan nisbah yang anda telah persetujui itu pun jika anda tidak membuat sebarang tuntutan sepanjang tahun tersebut.

Categories: FAQ, Takaful4Us
Tags:
X